mutakhir

'Firasat saya, mereka masih hidup'

Oleh Rosli Ilham

“SAYA ingat mereka (tiga rakan) tak jadi keluar ke laut. Kalau tahu nak jadi macam ni saya akan tunggu dan mengiringi bot mereka,” kata pemandu bot pelancong, Johaimizan Harun, 38.

Dia adalah rakan kepada tiga individu yang tiga pekerja resort yang hilang di perairan Pulau Tenggol dekat Dungun, semalam.

Johaimizan berkata, sebelum kejadian tiga rakannya itu memaklumkan mereka tidak jadi keluar ke laut kerana menyedari keadaan laut bergelora.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa tiga rakannya selepas menerima panggilan daripada majikan yang memaklumkan bot dinaiki mangsa tidak sampai ke pulau itu.

“Ketika itu, saya bersama seorang rakan baru selesai menghantar barang di pulau berkenaan dan menaiki bot untuk pulang ke Kuala Dungun.

“Saya sangat terkejut dan berpusing untuk mencari mereka... tak sampai 15 minit saya membatalkan hasrat itu kerana ombak dan angin semakin kuat,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Rajawali, Dungun, hari ini.

Menurutnya, sebelum kejadian dia juga diarahkan oleh majikannya untuk menghantar bekalan makanan ke resort di pulau terbabit sebelum memulakan kerja memasukkan barangan makanan dan keperluan ke dalam bot.

“Secara kebetulan, seorang rakan sekerja nak hantar beberapa pelancong ke pulau terbabit dan meminta saya mengiringi botnya dan kedua-dua bot kami bertolak jam 11.30 pagi.

“Sepanjang perjalanan ke pulau itu keadaan cuaca buruk dengan ombak besar serta angin kencang yang membadai bot kami.

“Biasanya, pada Julai, cuaca tidak buruk sebegini dan dalam perjalanan itu saya minta rakan pemandu bot di belakang berjaga-jaga dan menurunkan kelajuan bot kerana keadaan ombak ‘besar’.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tidak berlaku sebarang musibah sepanjang perjalanan itu,” katanya.

Johaimizan berkata, dia bagaimanapun terkilan dengan kejadian yang menimpa rakannya itu dan berharap mereka dapat ditemui dengan selamat.

“Firasat saya kuat mengatakan mereka masih hidup. Kalau bot itu karam, mungkin saya dah jumpa barangan yang dibawa di dalam bot mereka timbul di permukaan air.

“Saya beranggapan bot mereka rosak dan dihanyutkan arus ke arah perairan Marang,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan tiga pekerja resort di Pulau Tenggol dilaporkan hilang selepas bot dinaiki tidak tiba di pulau berkenaan.

Mereka iaitu Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort terbabit.

Sebelum itu, bot dinaiki mereka bertolak dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12 tengah hari.

Berita berkaitan

Pencarian sehingga 10 batu nautika

Tiga lelaki tak sampai-sampai...

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 12:39pm
d